Turunnya al-Quran di Bulan Ramadhan

Allah Subhanu Wa Taala telah menurunkan al-Quran di bulan Ramadhan. Allah memberi petunjuk melalui al-Quran tersebut kepada sesiapa sahaja yang mengikutinya, dan menyesatkan sesiapa sahaja yang menyimpang daripadanya. Di dalam al-Quran itu terdapat petunjuk dan penjelasan kepada petunjuk (berisi keterangan-keterangan tentang hukum), dan juga sebagai pembeza (antara haq dan batil). Allah berfirman:
“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan tentang petunjuk itu dan pembeza (antara yang haq dan yang batil)”. (TMQ al-Baqarah [2]: 185).
Lebih daripada itu, Allah juga telah menjelaskan tentang segala sesuatu sehingga tidak ada satu masalah pun kecuali ada hukum yang menjelaskan berkenaannya, walaupun masalah tersebut sentiasa muncul dan jenisnya bermacam-macam. Allah berfirman:
“Dan Kami turunkan kepadamu al-kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu”. (TMQ an-Nahl [16]: 89).
Allah telah mensyariatkan Islam kepada Muhammad sallallahu alaihi wasallam sebagai satu-satunya agama yang benar, bukan seperti yang disangka oleh kaum kafir. Islam adalah deen yang mengatur hubungan manusia dengan Rabnya, yang mengatur hubungan dengan dirinya sendiri, dan yang mengatur hubungannya dengan sesama makhluk baik manusia mahupun makhluk-makhluk yang lain. Aktiviti menerapkan wahyu yang diturunkan oleh Allah termasuklah penerapan hukum-hukum syariat (Islam) secara total di pelbagai aspek kehidupan manusia, baik secara individu, berkelompok mahupun bernegara dan ini merupakan penyebab hakiki untuk kemuliaan Islam serta kaum muslimin. Di dalam penerapan itulah terdapat keagungan dan kewibawaan mereka di hadapan musuh-musuhNya.
Allah berfirman:
“Padahal kekuatan (kemuliaan) itu hanyalah bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, akan tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui”. (TMQ al-Munafiqun [63]: 8).
Sebaliknya, semakin jauhnya kaum muslimin daripada Islam dan hukum-hukumnya, itulah penyebab hakiki kelemahan mereka, kemunduran dan kenestapaan diri mereka. Firman Allah:
“Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta” (TMQ Taha [20]: 124).
Sekarang kaum muslimin telah pun sedar bahawa Islam bukanlah semata-mata syiar-syiar ibadah ritual, tetapi ia merupakan deen yang sempurna. Ia merangkumi akidah, syariat, hukum, politik, dan risalah ke seluruh dunia. Berkenaan hal ini Allah subhanu wa taala berfirman:
“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagimu deenmu, dan telah Aku cukupkan ke atasmu nikmatKu, dan Aku meredhai bagimu Islam sebagai deenmu”. (TMQ al-Mâidah [5]:3).
Kaum muslimin juga telah sedar tentang kewajiban menegakan Khilafah yang akan menerapkan Islam secara total. Begitu juga kaum muslimin kini telah sedar bahawa kafir Barat telah membuat pelbagai tipu daya terhadap Islam serta hendak memadamkan cahayanya. Akan tetapi, merugilah usaha Barat dan seluruh kekufurannya itu kerana Allah Subhanahu wa Taala telah berfirman:
“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (deen) Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain daripada menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya. Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Quran) dan deen yang benar untuk dimenangkanNya ke atas segala deen (agama dan ideologi), walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai”. (TMQ at-Taubah [9]: 32-33).
Semoga laknat Allah sentiasa menimpa golongan kuffar musuh-musuh Islam dan semoga pertolongan serta rahmatNya sentiasa tercurah ke atas golongan yang berusaha meninggikan agamaNya. Amin ya Rabbal ‘alamin.

